Bengkel Batik Canting anjuran pelajar Tahun 2 Program Teknologi Seni Visual, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, UMS telah berlangsung dengan jayanya pada 08 Mei 2026 bertempat di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.
Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan dengan proses penghasilan batik canting secara menyeluruh, bermula daripada mereka bentuk motif, mempelajari teknik penggunaan canting, proses mewarna, sehinggalah kepada penyediaan kain batik yang siap dihasilkan. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk memahami keunikan seni batik tradisional, malah turut memupuk apresiasi terhadap warisan seni tekstil tempatan.
Di samping itu, bengkel ini juga berjaya menggalakkan perkembangan kreativiti, ketelitian serta kemahiran tangan dalam menghasilkan karya seni yang unik dan bermakna. Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu bentuk penilaian bagi kursus Seni Batik di bawah kendalian Dr. Salbiah Kindoyop.
SUKAN ASA 2026 MERIAH DI UMS, PERKUKUH SEMANGAT WARGA ASTIF
Sukan ASA 2026 anjuran Akademi Seni dan Teknologi Kreatif telah berlangsung dengan jayanya dari 15 hingga 17 April 2026, bertempat di Kompleks Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS). Program sukan tahunan ini berjaya menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai acara sukan telah dipertandingkan antaranya futsal, bola jaring, bola tampar, petanque, serta beberapa permainan santai yang turut menarik penyertaan warga ASTIF . Penyertaan aktif daripada pelajar pelbagai program membuktikan komitmen tinggi dalam menjayakan aktiviti luar bilik kuliah yang sihat dan bermanfaat.
Menurut pihak penganjur, objektif utama Sukan ASA 2026 adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar di samping memupuk semangat berpasukan, disiplin dan kepimpinan. Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar serta staf Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.
Majlis penutup yang diadakan pada 17 April menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Suasana penuh meriah jelas terpancar dengan sorakan dan kegembiraan para peserta.
Secara keseluruhannya, Sukan ASA 2026 bukan sahaja mencapai matlamat penganjurannya, malah berjaya meninggalkan kenangan manis kepada semua yang terlibat. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.
Sekalung Tahniah kepada Cik Earlene Kasamira Vashti Edham
atas kenaikan pangkat ke Penolong Pendaftar Kanan N10,
Universiti Malaysia Sabah, berkuatkuasa pada 16 Mac 2026.
Semoga terus maju dalam kerjaya.
Ikhlas daripada Seluruh Warga ASTiF
Tahniah kepada pensyarah ASTIF, pelajar pascasiswazah ASTIF, alumni dan pelajar tahun akhir Teknologi Seni Visual (TSV) ASTIF kerana telah memenangi anugerah sempena Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah Ke-40 bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah 2026 telah berlangsung pada 17 April 2026 (Jumaat) di Sabah International Convention Centre (SICC).
*Pemenang Hadiah Utama Kategori C (Terbuka):*
Evinossa (Pelajar Sarjana Visual)
Tajuk Karya: CRACKED PROMISE
*Pemenang 10 Teratas Kategori C (Terbuka):*
1. Hannah Kong Nyuk Fun (Pelajar Doktor Falsafah Visual), Dr. Imelda Ann Achin & Dr. Junior Kimwah
Tajuk Karya: TURALI (THE SOUND OF SADNESS) 2.0
2. Ag Ku Ade Az Zarieff Bin Awang Talip (Pelajar Tahun Akhir TSV)
Tajuk Karya: THE OTHER SIDE OF HUMINODUN
3. Nazmi Bin Tajuddin (Alumni TSV)
Tajuk Karya: PERJUANGAN ANTANOM
Sekalung Tahniah kepada Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi atas penganugerahan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Semoga kejayaan ini terus menjadi inspirasi dan pemangkin kecemerlangan dalam dunia akademik dan pendidikan.
Sekalung Tahniah kepada Dr. Mohd Shahri Ramli atas pelantikan sebagai Ketua Program Seni Muzik, dan Sekalung Penghargaan kepada Encik Resot Iggau atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tugas sebagai Ketua Program Seni Muzik.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada
Dr. Zaimie Sahibil (Pensyarah Program Teknologi Seni Visual) yang akan bersara pilihan pada 05hb Februari 2026.
Terima kasih atas jasa, budi dan sumbangan yang dicurahkan sepanjang di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah. Selamat bersara dan semoga terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan, serta kejayaan dalam setiap langkah yang mendatang.
Lipat Sirih Ditapak Tangan
Letak Sekapur Dalam Dupa
Budi Yang Baik Jadi Kenangan
Budi Tuan Kami Tak Lupa
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Dr. Rosli Sareya atas pelanjutan pelantikan sebagai Timbalan Dekan (Akademi Seni dan Teknologi Kreatif), Universiti Malaysia Sabah.
Semoga terus maju dalam dalam mengangkat kecemerlangan akademik ASTiF ke peringkat yang lebih gemilang!
Majlis Penghargaan “Jasamu Dikenang”
26 Januari 2026 – Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS menganjurkan Majlis Penghargaan “Jasamu Dikenang” bagi mengenang jasa dua warga ASTiF yang banyak menyumbang kepada pembangunan ASTiF, iaitu Dr. Zaimie Sahibil, Pensyarah Program Teknologi Seni Visual, serta Encik Muhammad Raimie Serbi, Staf Kursi Rumpun Bajau Samah. Penganjuran majlis ini bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi cerminan kepada peranan besar yang telah digalas oleh mereka berdua sepanjang berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah.
Warga ASTiF menzahirkan ucapan terima kasih dan doa agar Dr. Zaimie Sahibil dan En. Muhammad Raimee Serbi sentiasa dikurniakan kesihatan kekuatan, keberkatan dan kejayaan dalam perjalanan baharu selepas ini. Setiap bakti yang ditinggalkan menjadi legasi dan nilai yang akan terus dihayati oleh seluruh warga ASTiF.
Letih berjalan di tengah pekan,
Singgah sebentar di gerai siti,
Terima kasih kami ucapkan,
Atas segala jasa dan bakti.
21 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲 | 𝗥𝗮𝗯𝘂
Majlis Perasmian PER-SENSE 5.0 STEM Meets Art@School
Putatan – Program PER-SENSE 5.0: STEM Meets Art @ School anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science UMS dengan kerjasama Fakulti Perhutanan Tropika, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Fakulti Kejuruteraan serta Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan murid Sk Pendidikan Khas Tuaran
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang mewakili Menteri KPSTI. Turut hadir ialah Prof. Ts. Dr. Rodeano bin Roslee, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS yang mewakili Naib Canselor UMS; Ketua Pustakawan UMS; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS); wakil Pegawai Pendidikan Daerah Penampang dan Tuaran, Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu, serta barisan tetamu kehormat yang lain.
Program ini mengetengahkan pendekatan pembelajaran multisensori berasaskan gabungan STEM dan seni, dengan menghasilkan Projek Multisensory Walt: Cerita Sepohon Pokok Mangga” dan pelaksanaan bengkel batik tanah liat. Penglibatan pelajar universiti sebagai fasilitator turut mengukuhkan kerjasama strategik antara universiti dan sekolah dalam memperkasa pendidikan STEM yang inklusif.